17 March 2011

KARAMAH FATIMAH BINTI RASULILLAH


Dalam proses menyiapkan kuliah tafsir surah Ali Imran ayat 36-37, saya terbaca kisah Rasulullah s.a.w. dan anakanda beliau, Fatimah al-Zahra r.a. Kisah ini dinukilkan oleh Imam Ibn Kathir dalam tafsir beliau, Tafsir al-Quran al-'Azim yang bersumberkan daripada al-Hafiz Abu Ya'la. Kisahnya adalah sebagai berikut.

Pada suatu ketika, Rasulullah s.a.w. kelaparan, kerana sudah beberapa hari tidak menyentuh makanan. Kerana sudah tidak tahan menahan lapar, beliau pun cuba mencari makanan di rumah-rumah isteri beliau, akan tetapi tiada seorang pun yang mempunyai makanan. Akhirnya beliau datang ke rumah anak beliau Fatimah r.a. Sesampai di rumah Fatimah, beliau berkata :
يا بُنَيَّة، هَلْ عِنْدَكِ شَيْء آكُلُهُ، فَإِنَّي جَائِع؟
"Wahai anakku, apakah engkau ada sesuatu yang boleh aku makan ? Sesungguhnya aku amat lapar."
Fatimah menjawab : "Demi Allah, saya tidak mempunyai apa-apa yang boleh dimakan, wahai ayahanda."

Beliau berkata : "Kalau tidak ada, tidak mengapa, wahai anakku."

Rasulullah s.a.w. pun berlalu meninggalkan rumah Fatimah r.a. tanpa sesuatu yang dapat mengganjal perutnya yang kosong.

Tidak berapa lama selepas keluarnya Rasulullah s.a.w. Fatimah r.a. didatangi seorang jirannya dengan membawa dua potong roti dan seketul daging, lalu memberikannya kepada Fatimah r.a. Beliau pun mengambilnya dan meletakkannya dalam sebuah bekas besar. Beliau amat berterima kasih atas pemberian jirannya itu.

Melihat makanan itu, beliau terus teringat Rasulullah s.a.w. yang kelaparan. Beliau berkata :
والله لأوثرن بهذا رسول الله صلى الله عليه وسلم على نفسي ومن عندي
"Demi Allah, aku akan mengutamakan Rasulullah s.a.w. daripada diriku dan keluargaku."
Makanan ini akan kuberikan kepada Rasulullah s.a.w. dahulu, kata beliau.

Walaupun pada waktu itu, beliau dan keluarganya juga memerlukannya.

Kemudian beliau menyuruh salah seorang anak beliau, Hasan atau Husain memanggil Rasulullah s.a.w. Baginda pun datang. Lalu Fatimah berkata kepadanya : "Sungguh Allah s.w.t. telah memberiku sesuatu dan aku telah menyimpannya untukmu. Wahai Rasulullah, ayahku ambil dan makanlah !.

Rasulullah s.a.w berkata :
هَلُمِّي يا بُنيَّة
Bawalah kesini, wahai anakku..

Lalu Fatimah r.a. mengambil bekas penyimpan roti dan daging tadi, kemudian membukanya. Apabila beliau membukanya, beliau terkejut kerana mendapatkan bekas itu telah penuh dengan roti dan daging. Melihat itu, beliau terus menyedari bahawa itu adalah berkah daripada Allah s.w.t. Beliaupun langsung bersyukur dengan memuji Allah s.w.t. dan bersalawat ke atas Rasulullah s.a.w.

Kemudian beliau menghidangkannya kepada Rasulullah s.a.w. Ketika Rasulullah s.a.w. melihat makanan itu, beliau berkata :
مِنْ أيْنَ لَكِ هَذَا يَا بُنَية؟
"Darimana engkau dapatkan ini, wahai anakku ?"

Fatimah r.a. pun menjawab dengan berkata :
يا أبت، { هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ
"Wahai ayahku, ia adalah dari sisi Allah, Sesungguhnya Allah memberi rezeki sesiapa yang dikehendakinya tanpa perhitungan."

Lalu Fatimah r.a. memuji Allah s.w.t. Mendengar kata-kata anak kesayangan beliau itu, beliau berkata :
الحَمْدُ للهِ الَّذي جَعَلَكِ -يا بُنَيّة-شَبيهَةِ بسيدة نِساء بَنيِ إسْرَائيلَ، فَإنَّها كَانَتْ إذَا رَزَقَهَا اللهُ شَيْئًا فَسُئِلَتْ عَنْهُ قَالَتْ: { هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ
"Segala punji bagi Allah yang telah menjadikan engkau wahai anakku seperti penghulu wanita-wanita Bani Israil (iaitu Maryam). Sesungguhnya beliau telah berkata ketika ada yang bertanya tentang rezeki yang telah diberikan Allah s.w.t. kepadanya. Dia berkata : Ia dari sisi Allah, sesungguhnya ia memberi rezeki sesiapa yang dikehendakinya tanpa perhitungan."

Lalu Rasulullah menyuruh Fatimah r.a. memanggil Ali k.w. untuk makan bersamanya. Alhamdulillah, ternyata makanan itu tidak hanya cukup untuk Rasulullah s.a.w. Ali k.w., Fatimah r.a, Hasan r.a. dan Husain r.a., bahkan ia juga dapat memberi makan isteri-isteri Rasulullah s.a.w. dan jiran-jiran Fatimah r.a. yang lain.

Itulah karamah yang dianugerahkan Allah s.w.t. kepada Fatimah al-Zahra r.a. yang mana berkat beliau mengutamakan Rasulullah s.a.w. Allah telah menjadikan makanannya berganda sehingga dapat memberi makan ramai orang.

Lillahil hamdu wa syukru..

Catatan : Berdasarkan pentahqiq tafsir Ibn Kathir, sanad kisah itu terdapat cacat, iaitu Ibn Luhay'ah telah dianggap dhaif oleh jumhur.

Wallahu A'lam

1 comment:

mariah said...

Alhamdulillah... dapat ilmu lagi pada entri ini.. ana akan kreditkan dalam post ana.. syukran.