29 October 2010

HARAPKAN "COMPOUNDING INTEREST" DALAM BERAMAL

Setelah beberapa minggu tidak menulis, rasanya sudah sampai masanya diri ini menambah posting blog ini. Kalau tidak, sunyilah hati ini, bekulah minda ini dan jiwa ini terasa kosong. Demikian juga, blog ini tentu akan jadi sunyi dan ikhwah/akhawat tidak berminat datang lagi.

Ingin rasanya diri ini sentiasa dapat menulis, boleh memberi manfaat kepada orang lain. Diri ini ingat sangat sabda Junjungan Rasulullah s.a.w.
Maknanya : "Manusia yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia." HR. Tabrani

Apakah rasanya manfaat yang diri ini dapat berikan kepada manusia ? Ingin rasanya dapat memberikan manfaat kepada manusia dalam segala bidang, tetapi apalah daya diri ini yang dibatasi oleh kemampuan dan waktu. Tidak semua bidang diri ini mampu mengusainya. Tidak pula setiap waktu kosong.

Ingat firman Allah s.w.t. yang bermakna : "Allah tidak membebani seseorang diri, melainkan sesuai dengan kemampuannya." (al-Baqarah ayat 286) dan firmanNya pula, "Dia menginginkan kemudahan untuk kamu dan tidak menginginkan kesusahan kepada kamu." (al-Baqarah ayat 187), terasa ringan sedikit beban ini, lapang dada ini dan tenang jiwa ini. Ternyata memang dengan memahami ayat-ayat Allah, terungkailah masalah-masalah yang merisaukan hati ini.

Namun kita mesti berusaha memberi manfaat kepada manusia sebanyak mungkin. Kita cuba menjadikan setiap gerak dan kerja kita terdapat dalamnya saham untuk memberi manfaat kepada orang lain. Kerana dengan demikianlah hidup ini lebih bermakna. Amalan kita mempunyai faedah berganda yang dalam istilah orang ekonomi dan perbankan sebagai compounding interest. Barangkali lebih dahsyat ganjarannya daripada itu.

Iyalah, kalau difikirkan, jika kita hanya bergantung pada amalan kita semata, berapalah banyaknya. Diri ini yakin dan haqqul yakin, ia tidak akan cukup membalas pemberian dan karunia Allah s.w.t. yang tidak terhitung yang diterima diri ini. Tidak memadai rasanya untuk melayakkan diri ini dalam senarai hamba-hambanya. "Ya Allah, ampunilah hambaMu ini."

Oleh itu, diri ini mengajak diri sendiri dan saudara-saudara untuk menggunakan faedah berganda yang Allah sediakan bagi setiap amalan yang memberi manfaat kepada manusia. Inilah barangkali rahsia kenapa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah seluruh amalannya, kecuali daripada tiga perkara : 1. Sedekah jariah, 2. ilmu yang bermanfaat, 3. Anak soleh yang mendoakannya." Ketiga perkara tersebut adalah amalan-amalan yang mempunyai kaedah "faedah berganda".

Hadis yang disebutkan di awal tadi, mempunyai sambungan yang menjelaskan amalan bermanfaat apakah yang dicintai Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. bersabda :
Maksudnya :
"Amalan yang paling dicintai Allah adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke dalam (hati) seorang muslim, atau engkau bebaskan ia dari kesusahan, atau engkau tolong langsaikan hutangnya, atau engkau hilangkan rasa laparnya (dengan memberi makan). Sungguh jika aku berjalan bersama saudaraku yang mempunyai hajat adalah lebih aku cintai daripada aku beriktikaf di masjid ini selama sebulan, iaitu masjid Madinah. Sesiapa yang menahan kemarahannya, nescaya Allah akan menutup kecacatannya. Sesiapa yang merendam kemarahannya - yang mana jika dia mahu melepaskannya, dia boleh melepaskannya - nescaya Allah s.w.t. akan memenuhkan hatinya dengan harapan pada hari kiamat. Dan sesiapa yang berjalan bersama saudaranya yang berhajat sehingga dia menyelesaikan hajatnya, nescaya Allah akan mengukuhkan kakinya pada hari yang mana kebanyakan kaki-kaki tergelincir." HR. Tabrani dalam Mu'jam Saghir.

Amalan-amalan yang disebutkan hadis di atas adalah amalan yang memberi manfaat kepada orang lain. Ini menegaskan lagi betapa pentingnya mengutamakan amalan yang seumpama itu dalam berimal.

Akhirnya, mari kita berlumba-lumba membuat amalan yang mendatangkan manfaat kepada orang lain, sama ada dengan melakukan amalan-amalan yang disebutkan Rasulullah s.a.w. di atas atau pun amalan-amalan lainnya. Semoga berjaya..

Wallahu A'lam..

No comments: