19 March 2011

BOLEH KE TAK SOLAT PAKAI SANDAL ATAU SELIPAR ?



Soalan ini telah dilontarkan oleh seseorang kepada Islamonline.net. selepas menyaksikan para peserta demonstrasi di Mesir melaksanakan solat dalam keadaan berselipar atau sandal. Adakah yang mereka lakukan itu benar menurut syarak atau tidak ?

Maka di sini saya rasa, saya perlu berkongsi apa yang telah saya baca pada artikel itu supaya kita sama-sama mengetahui jawapannya.

Soalan itu dijawab oleh Syaikh 'Isam al-Syiar, salah seorang anggota Persatuan Ulama-Ulama Islam.

Menurut beliau, adalah harus memakai selipar atau sandal ketika mengerjakan solat selama selipar atau sandal itu bersih daripada najis. Itulah pendapat jumhur ulama. Bahkan mazhab Hambali menganggap sunat hukum memakai selipar atau sandal suci ketika bersolat. Ini berdasarkan kepada beberapa riwayat daripada Rasulullah s.a.w. Di antaranya hadis yang diriwayatkan Abi Salmah Yazid Ibn Sa'id yang berkata :
سألت أنسا أكان النبي صلى الله عليه وسلم يصلي في نعليه. قال: نعم. متفق عليه
Maksudnya :
Aku bertanya kepada Anas, adakah Nabi s.a.w. dahulu ada mengerjakan solat pakai selipar ? Beliau menjawab, "Ya". Hadis Muttafaq alaih.

Abu Sa'id al-Khudri juga meriwayatkan bahawa ketika Rasulullah s.a.w. hendak mengerjakan solat bersama-sama dengan sahabat-sahabatnya, beliau telah membuka seliparnya, lalu meletakkannya di sebelah kirinya. Melihat beliau menanggalkan selipar, sahabat-sahabat pun ikut menanggalkan selipar mereka. Setelah selesai solat, Rasulullah s.a.w. bertanya kepada mereka, "Kenapa kamu menanggalkan selipar-selipar kamu ?" Mereka menjawab, "Kami telah melihat engkau menanggalkan selipar, maka kami pun ikut menanggalkanya ?." Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata :
إن جبريل عليه السلام أتاني فأخبرني أن فيها قذراً
Maksudnya :
"Sesungguhnya Jibril mendataangi aku tadi, lalu menyampaikan kepadaku bahawa di seliparku ada kotoran." HR Abu Daud

Jadi, kerana terdapat kotoran atau najislah, Rasulullah s.a.w. menanggalkan seliparnya, kalau tidak, sudah tentu beliau akan bersolat dengan menggunakan seliparnya itu.

Riwayat lain ada menyebutkan bahawa orang-orang Yahudi tidak akan mengerjakan solat sehinggalah mereka menanggalkan selipar-selipar mereka, maka Rasulullah s.a.w. menyuruh umatnya supaya berbeza dengan mereka. Oleh kerana itulah, harus (boleh) bagi umatnya bersolat dengan memakai selipar.


Demikianlah hadis-hadis nabi yang dapat difahami daripadanya, bahawa memakai selipar ketika bersolat, hukumnya harus (boleh) dengan syarat selipar itu bersih daripada najis.

Tetapi perlu diingat bahawa solat yang dimaksudkan adalah solat yang dikerjakan di tempat bebas, seperti di padang atau di jalan, bukan dalam masjid, surau atau tempat-tempat yang telah disediakan karpet atau sajadah untuk solat. Justeru memakai selipar atau sandal ditempat-tempat tersebut telah menghina kesucian tempat-tempat tersebut.

Kemudian, perlu juga memeriksa selipar atau sandal yang dipakai itu terlebih dahulu sebelum menunaikan solat, jika terdapat najis padanya, hendaklah ia menanggalkannya atau mengosok-gosokannya ke tanah sehingga hilang najisnya itu.

Demikianlah petikan daripada artikel tersebut. Semoga bermanfaat.

Wallahu A'lam

No comments: