26 September 2010

ORANG CACAT VS ORANG NORMAL


Benar kata pepatah "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan."

Inilah yang dibuktikan oleh seorang lelaki Perancis yang sudah dipotong kaki dan tangannya, apabila ia berjaya berenang merentasi Selat Inggeris. Demikianlah yang disiarkan oleh surat kabar Sinar Harian semalam.

Lelaki yang bernama Philippe Croizon, 42, berenang menggunakan kaki palsu yang direka khas dan dipasang sirip getah untuk membolehkannya berenang.
Lelaki cacat ini merentas selat Inggeris sejauh hampir 34 kilometer.

Keupayaan lelaki cacat ini tentu menggugat keupayaan kita, orang normal; bagaimana orang cacat mampu melakukan perkara yang amat sukar dilakukan, sekalipun oleh orang normal.

Kita yang normal -Alhamdulillah- dikaruniakan Allah s.w.t. kaki dan tangan yang cukup, asli pula itu, bukan buatan dan anggota badan lengkap semuanya, akan tetapi kita tidak dapat sampai pada pencapaian yang diperolehi lelaki cacat ini ? Masalahnya tentu bersumber daripada diri kita sendiri. Jadi, di mana letak kesalahan kita ?

Prestasi seumpama ini tentunya bermula daripada kemahuan. Kemahuan yang kuat dapat mendorong seseorang untuk bertindak luarbiasa. Yang mana kadang-kadang tindakannya itu tidak mungkin dilakukan orang lain, tetapi kerana kemahuannya yang kuat itu dia mampu melakukannya. Inilah faktor pertama yang menyebabkan kejayaan itu berpihak kepada kita. Lemah kemahuan, maka lemahlah yang lainnya.

Yang kedua, fikiran positif. Fikiran positif umpama lampu penyuluh bagi seorang pejalan kaki di malam hari yang gelap. Ia mencakup berfikiran positif terhadap Allah s.w.t., diri sendiri, lingkungan dan cabaran serta dugaan-dugaan yang dihadapi dalam kehidupan ini. Makanya Rasulullah s.a.w. sentiasa mengingatkan sahabat-sahabatnya supaya berfikiran positif dan menghindarkan diri daripada fikiran negatif (persangkaan buruk). Beliau bersabda :
"Hati-hati kamu daripada persangkaan buruk, sesungguhnya persangkaan buruk adalah ucapan yang paling buruk."
HR. Bukhari dan Muslim
Lebih tegas lagi Allah s.w.t. menyatakan :
"Wahai orang-orang yang beriman, hindarilah banyak persangkaan.. Sesungguhnya sebahagian persangkaan itu adalah dosa."
Surah al-Hujurat 12
Ertinya, berfikiran negatif adalah dosa. Dan mafhum mukhalafahnya, perbanyaklah berfikiran positif, kerana berfikiran positif itu adalah pahala.

Dengan demikian, berfikiran positif terhadap Allah s.w.t., diri sendiri, lingkungan dan kehidupan ini merupakan kunci kejayaan manusia dalam kehidupan ini. Maka apabila seorang yang cacat berfikiran positif terhadap keadaan dirinya; dia melihat kecacatan bukanlah penghalangnya dalam mencapai kejayaan, justeru kecacatannya itu menjadi pendorongnya kepada kejayaan.

Ketiga, keyakinan. Keyakinan pada keupayaan diri akan memberi dampak positif terhadap perjalanan hidup seseorang, apalagi jika keyakinan itu berakarkan keimanan yang kuat kepada Allah s.w.t. sudah tentu ia akan membuahkan sesuatu yang luar biasa.

Bayangkan seorang yang yang bukan Islam, akan tetapi ia mempunyai keyakinan yang teguh terhadap diri dan Tuhan yang diyakininya, ia berjaya memperoleh kemahuannya yang sukar dicapainya. Sudah tentu, orang Islam yang mempunyai elemen-elemen yang kita sebutkan tadi akan melejit tinggi keupayaannya; dia akan mampu mencipta dan melahirkan sesuatu yang lebih luarbiasa lagi, kerana ia mempunyai kekuatan sokongan daripada Tuhannya Yang Maha segala-galanya.
"Ketahuilah, sesungguhnya wali-wali Allah tiada takut bagi mereka dan tidak juga mereka bersedih."
Namun keyakinan dan elemen-elemen di atas jugalah yang mulai hilang daripada umat ini yang telah menghanyutkan umat ini ke dalam lembah kehinaan yang belum ada akhirnya ini.

Semoga umat ini kembali kepada garisan dan landasan yang telah ditetapkan Tuhan mereka yang Maha Mengetahui sehingga mereka kembali mengukir dengan tinta emas kejayaan demi kejayaan yang luarbiasa nantinya. Amin

No comments: