25 September 2010

OPEN HOUSE ATAU OPEN NAFSU


"Kosong ke ?, tanya seorang pakcik kepadaku di suatu majlis open house hari raya di rumah seorang kawan.
"Ya kosong, sila duduk haji", jawabku.
"Dari mana haji ?", soalku untuk membuka perbualan denganya.
"Dari Kota Damansara," jawabnya."Ohya, dekat je.." balasku.

Sambil menikmati hidangan yang pelbagai, kami pun berbual-bual.

"Langsung dari rumah ke ?, soalku lagi.

"Oo tak, dari open house kawan yang satu lagi." jawabnya."Selepas ini masih ada dua rumah lagi yang perlu dilawati ni," Tambahnya lagi.

"Oo banyak lagi tu ? Betul-betul beraya lah selera kita hari raya ni " Sambungku. "Ya begitulah kalau dah sampai musim raya ni," Katanya.

Itulah barangkali hampir keadaan semua kita pada bulan Syawal ini. Yang mana pada hujung minggu kita selalu mendapat jemputan 2, 3, 4 tempat open house, bahkan ada yang lebih daripada itu.

Tidak dapat dinafikan bahawa acara seumpama open house ini baik adanya, yang mana ia dapat menyemarakkan rasa persaudaraan dan meningkatkan hubungan silaturahmi. Namun dalam masa yang sama ia dapat mendatang beberapa perkara yang dapat merosak nilai-nilai positif yang telah kita bina selama bulan Ramadhan.

Selama Ramadhan kita telah melatih diri mengawal nafsu kita dengan baik, terutama nafsu makan kita. Namun pada bulan Syawal ini, dalam acara open house kita dihadapkan pada hidangan makanan dan minuman yang pelbagai, dari yang ringan sampai yang berat; satay, kueyteow, laksa, lemang, nasi briani, nasi ayam, daging kambing, dll. Hampir semuanya sedap dan menggoda selera kita.

Di sinilah kita dihadapkan pada ujian dan dugaan keimanan kita. Apakah hendak melapah semua hidangan yang ada ? Ataukah kita mampu bertahan dan mengawal diri dengan baik ?..


Sebenarnya dalam situasi sebegini kita boleh memakan hidangan yang ada, tetapi janganlah berlebihan. Sikap mengambil kira apa yang hendak kita makan, bukan hanya bertepatan dengan pengamalan diet yang sihat, tetapi juga mengikut acuan ajaran Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w.


Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya :

"Makanlah kamu dari apa yang baik-baik yang telah Kami anugerahkan kepada kamu, dan janganlah kamu melampau batas padanya. (Sesiapa yang melampau batas padanya) maka dia akan ditimpa kemurkaanKu. Sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, nescaya ia telah binasa ."

Surah Taaha ayat 81

Apabila kita memperhatikan ayat di atas, kita dapat satu peringatan bahawa berlebihan dalam memakan sesuatu boleh mengheret kita kepada kemurkaan Allah s.w.t. Waiyazubillah min Zalik.. kerana bukan itu yang kita harapkan.


Kita makan untuk sihat badan dan bertenaga dalam menjalankan ibadah demi meraih redha Allah s.w.t. Namun jika yang terjadi adalah yang sebaliknya, ini bermakna matlamat makan kita itu telah lari. Ia telah sia-sia.Kita berlindung kepada Allah s.w.t. daripada amalan yang sia-sia.


Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Sesungguhnya termasuk pembaziran jika kamu makan apa saja yang kamu bernafsu memakannya."

(HR. Ibnu Maajah)

Ingat jugalah dengan hadis nabi yang berikut :

"Orang yang paling kenyang makan di dunia akan menjadi paling lama lapar pada hari kiamat."

(HR. Al Hakim)


Oleh itu, mari kita beringat diri ketika menghadiri jamuan open house hari raya. Mari kita buka hati kita untuk memaafkan orang (open our heart for forgiveness) dan kita tutup nafsu (close our nafsu) daripada berlebih-lebihan. Kalaupun tidak kita tutup nafsu kita, kerana ia sebati dengan diri kita, maka kita perlu mengawal nafsu kita sehingga tidak berlebihan dan melampaui batas.


Semoga Allah s.w.t. merahmati dan membantu kita semua dalam mencapai hasrat menjadi mukmin sejati. Amiin.


Wallahu A'lam


No comments: