02 September 2010

Tafsir Surah al-Mulk ayat 1

Surah al Mulk ayat 1
Terjemahan ayat :

"Maha Suci Tuhan yang di tanganNya segala kekuasaan, dan Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu"
(Surah al-Mulk ayat 1)

Huraian :
Ayat ini bernuansa akidah yang memperkenalkan kita kepada hakikat ketuhanan, iaitu Allah s.w.t. Dia adalah Tuhan yang suci dari segala kekurangan, kelemahan dan kecacatan. Dia sempurna dalam segala aspek. Berbeza dengan makhluk; yang ada sahaja kekurangan, kelemahan dan kecacatannya. KesempurnaanNya inilah yang melayakanNya memegang segala tampuk kekuasaan. Maka Dia berkuasa pada diri manusia, jin, malaikat dan makhluk-makhluk yang lain, sama ada makhluk yang terdapat di muka bumi ataupun di langit. Dia juga berkuasa dalam kehidupan dunia dan kehidupan akhirat.

Ibn Abbas berpendapat bahawa "Tabaraka" selain bermakna Maha Suci, ia juga mengandungi makna Dia Maha Agung, Maha Tinggi, Maha Berkat dan Dia tidak memerlukan anak dan sekutu." (Tanwir al-Miqbas min Tafsir Ibn Abbas).

Ini bermakna, sesiapa yang ingin mencari kehebatan, kemulian dan keberkatan, sesungguhnya ia ada pada Allah s.w.t. Banyak yang tersesat dalam pencariannya, mereka mencari pada selain Allah s.w.t. sehingga mereka tersungkur dalam lumpur kesyirikan.

Itulah sebabnya Ibn Abbas lebih lanjut menjelaskan bahawa "di tanganNya segala kekuasaan" membawa maksud, Dia berkuasa untuk memuliakan seseorang dan Dia juga berkuasa untuk menjatuhkannya kepada ke lembah kehinaan.

Wallahu A'lam

2 comments:

Superstage said...

Salam....mana sambungannya Ustaz? Ustaz buatlah kuliah on-line... nanti kami boleh ikut..

Firdaus Sulaiman said...

Syukran.. InsyaAllah akan disambung.. sedang disiapkan.. Doakan semoga boleh menyempurnakannya.. amin.