22 September 2010

BUKU LEBIH BERHARGA DARI SEBONGKAH EMAS



Beberapa waktu yang lalu, daya membacaku agak merosot. Tidak seperti sebelum-sebelumnya, yang mana hari-hariku sentiasa kupenuhi dengan membaca, mentelaah dan mengkaji buku-buku untuk menambah ilmu dan pengetahuanku.

Hujan gerimis membasahi bumi. Siang itu, selepas makan tengah hari bersama isteri dan keluarga di sebuah restoran, aku menyempatkan diri untuk singgah di kedai buku sebagaimana kebiasaan-kebiasaanku sebelum ini, setiap kali pulang kampung. Hampir setiap kali pulang kampung, aku akan singgah di kedai-kedai buku untuk mencari buku-buku baru yang bisa menambah khazanah ilmuku. Biasanya paling kurang 5 buku akan kukantongi dan bawa balik ke Malaysia.

Aku masuk ke dalam kedai buku dan membelek-belek buku-buku yang menarik perhatianku. Salah satu buku yang menarik perhatianku berjudul "Gila Baca Ala Ulama" karangan Ali bin Muhammad al-'Imran. Judul asli buku adalah "al-Musyawwiq ila al-Qira'ah wa Talab al-"ilm".

Buku ini mengandungi kisah-kisah benar tentang ketekunan para ulama dalam membaca dan menuntut ilmu. Sungguh menakjubkan kisah mereka. Di era yang serba terbatas pada waktu itu, tiada elektrik dan tiada kemudahan-kemudahan seperti yang kita nikmati sekarang, tetapi mereka membaca dengan kualiti yang dahsyat dan kuantiti yang banyak. Ibn al-Jauzi pernah berkata, "Aku pernah membaca 200,000 jilid buku lebih. Sampai sekarang aku masih terus mencari ilmu." Bayangkan 200,000 jilid !.. Siapa di antara kita yang membaca buku dalam kuantiti seperti itu sekarang..

Teringat aku bagaimana lemahnya semangatku untuk membaca sekarang.. Baru membaca beberapa halaman saja, sudah berair mataku, terus kulipat buku itu dan meninggalkannya. Tidak sempat aku habis membacanya. Padahal apabila melihat kesungguhan ulama-ulama terdahulu dalam membaca sehingga ada sampai buta dek membaca. Sungguh tidak tertandingkan.

Tiada hari bagi mereka tanpa belajar dan membaca. Kemana-mana sentiasa mereka bersama buku. Bahkan tidur pun dengan buku. al-Hafiz al-Jahiz dalam bukunya al-Hawayan menuturkan bahawa dia mendengar Hasan al-Lu'luai beerkata, "Selama 40 tahun, aku tidak tidur siang ataupun tidur malam, serta tidak berehat sambil bersandar kecuali ada sebuah buku yang tergeletak di atas dadaku."

Bagi mereka, buku lebih berharga daripada sebongkah emas. Tahir bin Abi al-Saqr (W.476H) berkata, "Buku-buku ini lebih aku cintai dari sebongkah emas"

Masya Allah.. Begitu hebatnya mereka.
Membaca buku ini, kembali semangat membacaku berkobar-kobar. Tepatlah apa yang ditulis pada kulit buku ini : "Pengobar semangat baca!"

Ya mari membaca saudara-saudaraku. Mari kita amalkan firman Allah yang pertama diturunkan kepada kita, iaitu : "Bacalah dengan menyebut nama TuhanMu !.. Yang telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah !.. Tuhanmu adalah Maha Mulia. Yang mengajarkan dengan menggunakan pena. Mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya... "Surah al-'Alaq ayat 1-5

Bangsa yang membaca, bangsa yang berjaya...

Wallahu a'lam

3 comments:

omurice said...

post yang menarik...xsgka ak masih lemah dgn membaca...lgsg xde minat membaca buku ilmu...yang menjadi santapan ak hnya gosip hiburan yang lgsg tak memberi faedah...moga post ini memjadi penguat semangat bg umat islam supaya lebih byk membaca...insyaallah..

Anonymous said...

Salam, boleh tahu kat mana nak dapatkan buku nih? jzkk

Firdaus Sulaiman said...

Waalaikumsalam.. Buku ini boleh didapatkan di kedai buku Indonesia, di Wisma Yakin, Mesjid India, Kuala Lumpur.. la syukra 'alal wajib.