30 September 2010

3 KARAKTER MANUSIA PENGHALANG DAKWAH


Hari ini giliranku kuliah maghrib di Masjid al-Ghufran TTDI Kuala Lumpur. Perbahasannya adalah tafsir Surah al-Ankabut ayat 39-40, iaitu sambungan kepada perbahasan tafsir ayat-ayat yang sebelumnya. Tema utama surah al-Ankabut adalah ujian dalam perjuangan dakwah di jalan Allah s.w.t.


Bagi pejuang dakwah, ujian adalah suatu yang lumrah. Itulah yang ditegaskan Allah s.w.t. pada awal surah al-Ankabut :

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?"
Surah al-Ankabut ayat 2

Perjuangan dakwah telah dilaksanakan oleh pendahulu-pendahulu kita. Semua mereka telah menghadapi pelbagai ujian dan dugaan sehingga tersaringlah siapa yang betul pejuang dan siapa yang hanya menamakan diri sebagai pejuang. Allah berfirman :

"Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta."

Surah al-Ankabut ayat 3


Maka pada ayat 39 surah al-Ankabut, Allah menjelaskan perjuangan dakwah yang dilakukan oleh Nabi Musa a.s. Di sini Nabi Musa berhadapan dengan 3 karakter manusia yang menghalangi perjuangannya. Allah s.w.t. berfirman :

"Dan (ingatkanlah juga peristiwa kebinasaan) Qarun dan Firaun serta Haman. Dan sesungguhnya Nabi Musa telah datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata, lalu mereka berlaku sombong di bumi (dengan mendustakannya), padahal mereka tidak dapat melepaskan diri (dari azab Allah)."

surah al-Ankabut ayat 39

Tiga karakter itu adalah :
1. Karakter yang diwakili oleh Qarun. Karakter ini adalah karakter orang kaya yang lupa diri.
2. Karakter yang diwakili oleh Fir'aun. Karakter ini adalah karakter pimimpin yang zalim.
3. Karakter yang diwakili oleh Haman. Karakter ini adalah karakter yang pandai mengambil muka pada pemimpin.

3 karakter di atas sentiasa ada pada setiap derap langkah perjuangan dakwah, menghalangi manusia daripada menghirup wangian risalah dakwah. Pada zaman Rasulullah s.a.w. terkenallah manusia yang berkarakter dengan karakter pertama iaitu al-Walid bin al-Mughirah Ibn Hisyam al-Makhzumi yang menggunakan harta dan kekayaan untuk menghalang manusia daripada mendengar dakwah Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t. berfirman :

11.(Jangan Engkau bimbang Wahai Muhammad) biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak pinak),12. dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak, 13. serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya. 14. dan Aku mudahkan baginya (mendapat kekayaan dan kekuasaan) dengan semudah-mudahnya. 15. kemudian ia ingin sangat, supaya Aku tambahi lagi; 16. tidak sekali-kali (akan ditambahi) ! kerana Sesungguhnya dia menentang dengan degilnya akan ayat-ayat Kami (Al-Quran, yang disampaikan oleh Rasul Kami).17. Aku akan menyeksanya (dengan azab) yang memuncak beratnya.

Surah al-Mudathir ayat 11-17

Ulama-ulama tafsir seperti Ibn Kathir, Fakhr al-Din al-Razi, Imam al-Suyuti dan lain-lain menyatakan bahawa yang dimaksudkan ayat di atas adalah al-Walid bin al-Mughirah yang merupakan salah seorang pemuka Qurays. Beliau adalah seorang yang kaya raya, mempunyai anak ramai dan perniagaan eksport import yang mendatangkan keuntungan yang berganda-ganda, tetapi sepertimana yang dijelaskan ayat di atas, kemewahan dan kekayaannya itu belum membuatnya puas sehingga ia masih ingin ditambah lagi kekayaannya itu. Karakter al-Walid ini sama betul dengan Qarun yang disebutkan ayat 39 surah al-Ankabut di atas. Karakter manusia seperti ini akan kita temukan juga pada zaman kita sekarang ini, iaitu manusia yang tidak puas dengan kekayaan yang dimilikinya dan kekayaannya itu digunakan untuk menentang perjuangan dakwah menegakkan agama Allah s.w.t. di muka bumi ini.

Manakala karakter kedua, iaitu pemimpin yang zalim yang menggunakan kekuasaan yang dimilikinya untuk menghalang perjuangan dakwah dapat kita temukan pada setiap zaman juga. Pada zaman nabi Ibrahim, beliau berhadapan dengan Raja Namruz yang pernah disentuh oleh Allah s.w.t. dalam al-Quran :

258. Tidakkah Engkau memikirkan tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu Kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat?" maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.

Surah al-Baqarah ayat 258

Pada zaman Rasulullah s.a.w. kita mendapat orang-orang seperti Abu Jahal dan Abu Lahab yang merupakan orang-orang berkuasa di kalangan kafir Qurays dan menggunakan kekuasaanya itu untuk mematahkan gerak langkah perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w.

Adapun karakter ketiga, seorang pegawai yang pandai mengampu dan mengambil muka sehingga turut menikmati kekuasaan ataupun kekayaan, golongan ini pun sentiasa ada pada setiap perjalanan dakwah. Kadang-kadang golongan ini lebih parah daripada golongan pertama dan kedua. Yang mana pemimpin mereka tidaklah teruk sangat, tetapi kerana masukan-masukan jahat golongan ini, akhirnya pemimpin itu bertindak jahat.

Ketiga-tiga golongan manusia penghalang dakwah mempunyai akhir kesudahan yang tragis, iaitu dibinasakan Allah s.w.t. dalam kehinaan. Ini sebagaimana ditegaskan Allah s.w.t. pada ayat 40 surah al-Ankabut :

40. maka masing-masing Kami binasakan disebabkan dosanya, Iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan ia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

Surah al-Ankabut ayat 40

Kita berlindung kepada Allah s.w.t. daripada kejahatan orang-orang seperti ini dan berdoa semoga perjalanan dakwah kita dimudahkan Allah s.w.t. serta tidak surut ketika berhadapan dengan ujian dan cabaran. Amin..

Wallahu a'lam.



1 comment:

Syairah Shamri said...

salam wbt,..luv ur latest entry..ayuh kita istiqamah dan menjauhkan ketiga-tiga karakter penghalang dakwah itu..dan jgn pula kita yng menambahkan karakter baharu yg blh menghalang usaha dakwah itu,.,.nauzubillah..moga kita semua istiqamah dan mendapatkan ganjran ghuraba kelak..inshaALLAH... amiin :)


salam ukhuwwah