Tetapi hari ini aku ditakdirkan bersamamu. Aku diberi kesempatan bertemu denganmu. Maka mari kita gunakan peluang ini untuk saling berkenalan. Kita amalkan firman Allah yang terdapat dalam al-Quran al-Karim surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud :
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu; lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).
Dinda, Sesungguhnya mengenalmu bertambah penting bagiku, kerana dinda adalah saudaraku seakidah, seagama dan mungkin sebangsa. Walaupun kita bukan adik beradik daripada satu ibu bapa, atau satu darah keturunan, tetapi ada satu ikatan lain yang menyatukan kita, yang lebih kuat dan kukuh daripada ikatan-ikatan lain, ialah ikatan iman dan akidah. Wahai dinda, dikaulah saudaraku seiman. Dikaulah adikku seIslam.
Sesungguhnya Allah SWT. telah menjelaskan tentang ikatan yang terjalin di antara kita secara otomatik ini, semenjak kita melafazkan dua kalimah syahadat : "Asyahadu Anla Ilaha Illallah, Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah." Ia adalah kalimah iman, penyatu setiap muslim dengan muslim yang lain. Allah SWT. berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 10. yang maksudnya :
"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."
Rasulullah SAW. pun pernah bersabda, menjelaskan lebih lanjut tentang konsekuensi ikatan itu. Sabda baginda ini diriwayatkan oleh Ibn Umar ra :
الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya :"Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain; ia tidak boleh menzalimi dan menghinanya. Barang siapa yang membantu memenuhi keperluan saudaranya, nescaya Allah akan membantunya juga dalam memenuhi keperluannya. Barang siapa yang membantu meringankan kesusahan seorang muslim, nescaya Allah akan meringankan kesusahannya di kiamat nanti. Barang siapa yang menutup aib kekuangan seorang muslim, nescaya Allah akan menutup aib kekurangannya pada hari kiamat nanti."
HR. al-Bukhari.
Wahai dinda, jagalah ikatan ini agar sentiasa bersatu sebagaimana kita menjaga ikatan persaudaraan kita dengan saudara kandung kita. Binalah kasih sayang di atas landasan iman dan kerana Allah SWT. semata. Rasakanlah kasih sayang itu menjelma menjadi perasaan saling menghargai dan menghormati, membantu dan meringankan beban. Sesungguhnya Rasulullah SAW. menjelaskan bahawa ikatan kasih sayang yang terbina di antara kita orang-orang yang beriman bagaikan kasih sayang yang terjalin di antara anggota badan kita. Dinda, apa yang akan terjadi pada dinda sekiranya salah satu anggota badan dinda sakit, umpamanya gigi dinda ? Sudah tentu rasa sakit yang terdapat pada gigi dinda akan membawa kesan kepada seluruh anggota badan dinda; kepala dinda turut berdenyut, mata dinda tidak boleh dilelapkan, selera dinda menjadi hilang. Ikatan kasih sayang seperti inilah yang semestinya terjalin di antara kita orang-orang yang beriman. Rasulullah bersabda melalui riwayat al-Nu'man bin Basyir :
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Maksudnya :"Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam segi berkasih sayang dan berlemah lembut seperti satu jasad; apabila satu anggotanya mengadu kesakitan, anggota-anggota lain turut merasakannya dengan susah tidur dan demam."
HR. Muslim
Wahai dinda, sekiranya kita tidak mampu mencapai tahap yang dijelaskan Rasulullah SAW. di atas, sekurang-kurangnya kita mempunyai perasaan prihatin dengan saudara-saudara kita orang-orang yang beriman.
Ceramahku pada program "Remaja Cemerlang"
Dewan Konfren Masjid al-Ghufran
No comments:
Post a Comment