05 August 2007

HIDUPMU ADALAH UJIAN

Jangan Lupa Merebut 99 Baki Rahmat Allah
Dinda, kadang-kadang kita terlalu asyik menikmati rahmat Allah yang di dunia ini yang tidak seberapa. Kita terpukau dengan Rahmat Allah yang hanya satu peratus itu. Sehingga kita melupakan rahmat Allah yang jauh lebih banyak dan nikmat lagi yang sengaja Allah SWT. tunda, ia hanya akan kita nikmati apabila kita lulus dalam peperiksaan kita di dunia ini. Allah berfirman dalam surah al-A`la ayat 14-17.
Maksudnya :
"14. Sesungguhnya berjayalah orang yang berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh),15. Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan solat (dengan khusyuk).16. (tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia;17. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal".

Ingatlah wahai dinda...
Sesungguhnya hidupmu di dunia ini umpama kelas ujianmu. Tempat kamu diuji guna menentukan siapa yang layak menerima 99 nikmat Allah yang lain. Cubalah dinda perhatikan firman Allah dalam surah al-Mulk ayat 2.
Maksudnya :
2. Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Dia Maha Berkuasa lagi Maha Pengampun."

Perhatikanlah ayat di atas... Allah menjadikan hidup kita di dunia ini dan matinya kita nanti sebagai ujian bagi kita. Allah menguji kita sama ada kita mahu melakukan yang terbaik dalam ujian kita itu atau tidak. Pada ayat lain, Allah mengingatkan kita supaya jangan leka dengan dunia ini atau beranggapan bahawa kita boleh hidup sesuka hati kita tanpa melalui ujian, menganggap bahawa hidup kita di dunia ini hanya untuk bermain-main dan berseronok. Allah berfirman dalam surah al-Mukminun ayat 115-116.
Maksudnya :
"115. Maka Adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu sia-sia tanpa sebarang hikmat ? dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada kami?"116. Maka Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang tetap benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan Yang mempunyai Arasy Yang mulia."

Allah juga memberitahu bahawa orang-orang sebelum kita telah melalui ujian demi ujian, sehingga melalui ujian itu diketahuilah siapa yang benar-benar beriman dan siapa yang hanya berpura-pura beriman. Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 1-3.
Maksudnya :
1. Alif, Laam, Miim. 2. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? 3. Dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.

Dinda, sesungguhnya ujian yang kita hadapi sekarang ini tidak seberapa dibandingkan dengan ujian yang telah dilalui orang-orang sebelum kita. Lihatlah ujian yang dilalui para nabi dan sahabat-sahabat mereka. Lihatlah ujian yang dilalui orang-orang soleh dan para syuhada'. Kerana dahsyatnya ujian yang mereka hadapi, terlontar dari mulut mereka, bahkan dari mulut nabi-nabi mereka ungkapan : "Bilakah pertolongan Allah SWT. akan datang ?. Allah berfirman surah al-Baqarah ayat 214.
Maksudnya :
"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang Yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)."

Itulah, wahai adinda... Sesungguhnya rahmat dan kasih sayang Allah yang 99 itu tidak dapat diperoleh dengan mudah. Ia tidak dapat diperoleh dengan hanya bermain-bermain dan berseronok ria di dunia ini tanpa usaha dan perjuangan untuk dapat lulus pepereksaan dan ujian dengan cemerlang.

So, do your best for your bright future !..

Bahan ceramah "Remaja Cemerlang"
Dewan Konferen Masjid al-Ghufran.

No comments: